Isnin, 11 Januari 2016

BELAJAR NI MACAM LARI MARATHON

belajar ni seperti membaca ikut urutan abjad.
Dalam perjumpaan perbincangan antara pihak sekolah dengan ibu-bapa bagi membincangkan kemajuan anak-anak dalam UPSR 2016 aku mendapat sedikit sentuhan idea tentang proses pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakan sekolah dan boleh dikatakan hampir keseluruhan sekolah dalam Negara kita ni sanggup berhabis belanja dan lebih lagi buat kutipan demi memajukan anak-anak kita dalam peperiksaan seperti UPSR, PMR,SPM dan juga STPM. Maka pelbagai program persediaan akhir dibuat bagi persediaan kepada murid untuk menghadapi peperiksaan.
Kita sebagai ibu-bapa juga tak terlepas beranggapan seperti begitu dan sanggup menghulurkan segala bantuan terdaya membantu anak-anak  perlu buat pecutan  larian kegarisan penamat. Bagi aku perkara begini amat menyedihkan dan mungkin idea aku ni tak disukai oleh guru-guru lain tapi apa salahnya aku luahkan saja dalam coretan blog milik aku. 
pecutan yang seimbang dari kecil sangat membantu
Sebenarnya kita sebagai ibu bapa dan guru-guru seperti dah lari landasan dan mungkin hampir terbabas dari jalan hala tuju dalam memberi pendidikan kepada anak-anak dan bangsa. Kita lebih menumpukan pembelajaran dalam kertas peperiksaan dan beranggapan yang cemerlang dalam peperiksaan itu yang terbaik. Yang gagal dalam peperiksaan tu golongan yang gagal dan tak cerdik. Maka cikgu-cikgu pun dah pandai simpan format menjawab dan format mendapat markah dalam peperiksaan lalu diluahkan pada murid. Jadi murid pun lulus dengan cemerlang padahal pada hakikatnya pelajar tu lulus cemerlang kerana format jawapan dari cikgu dan bukan dari kepandaian dari murid tersebut. 
Selain tu pelbagai program yang dibuat oleh sekolah dibantu PIBG demi pecutan akhir sebelum peperiksaan seperti kelas tambahan, motivasi, cara menjawab soalan, perkhemahan Matematik dan pelbagai lagi. Malah ada sekolah yang menghentikan aktiviti kokurikulum lalu diganti dengan aktiviti kurikulum sahaja demi peperiksaan. Murid pula perlu belajar pagi, petang dan disambung hingga ke malam sehingga menjadikan pelajar stress. Maka apabila habis sahaja peperiksaan kita lihat pelbagai gelagat dan tingkahlaku pelajar yang kurang menyenangkan tidak seperti sebelum peperiksaan. Itu tandanya murid sedangkan melepaskan perasaan tertekan yang ditanggung sebelum peperiksaan dan ini semua adalah proses yang tidak sihat langsung demi masa depan anak bangsa kita.
Sebenarnya konsep pedidikan tu dah lari dari dasar pendidikan negara yang mahu rakyatnya mahir dalam bidang jasmani,emosi, rohani dan intelek . Sebab itu tidak hairan kita telah melahirkan rakyat yang berbeza dari segi nilai berbanding tahap pendidikan yang bagus. 
Pedidikan atau pelajaran ni bermula di rumah lalu disambung ke tadika dan seterusnya ke universiti. Bukan sedikit masa yang diambil oleh seseorang untuk mencapai tahap pendidikan yang paling teratas dan mungkin mengambil masa berpuluh tahun. Maknanya proses belajar ni seperti larian marathon yang memerlukan daya tahan yang tinggi. Pelari marathon tak akan memecut diawal  dan juga tak memecut diakhir menuju kegarisan penamat. Yang penting pelari marathon perlu sentiasa kekalkan laju larian untuk sampai ke garisan penamat. 
Begitu juga dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu kekalkan tahap kualiti pendidikan dari mula seawal tadika lagi lalu kekalkan prestasi sehingga ke akhir. Tapi apa yang kita perhatikan, semasa seawal tahap pendidikan tak ada guru besar  atau pengetua yang betul-betul serius menekan guru demi kemajuan anak bangsa tetapi sebaliknya suka melakukan pecutan akhir sebelum peperiksaan seperti sudah jadi tradisi. Jika kita kekalkan prestasi dari awal lagi serta menekankan tahap pendidikan dari awal maka tak akan timbul masalah keciciran pelajar dalam bidang akademi.
Apa yang aku luahkan ni atas pengalaman dan pendapat sendiri dan tak boleh dijadikan bahan rujukan untuk mana-mana institusi tetapi sekadar mencetus kesedaran demi anak bangsa kita yang tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan